JOHOR BAHRU: Seorang wanita bukan sahaja tidak berpeluang untuk bekerja sambilan, malah turut mengalami kerugian sebanyak RM105,650 apabila terpedaya dengan taktik sindiket yang menawarkan pekerjaan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 41 tahun yang diperdaya ‘scammer’ di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, di sini semalam.
“Mangsa memaklumkan ada menerima satu pautan WhatsApp daripada Lux Legacy yang menawarkan peluang pekerjaan dalam talian pada Rabu lalu.
“Wanita itu dijanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan. Tawaran tersebut menjanjikan pulangan modal sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Balveer Singh memberitahu, mangsa yang tertarik dengan komisen dijanjikan serta tugasan mudah yang ditawarkan telah mendaftarkan diri dan melakukan 10 transaksi ke dalam lima akaun berbeza antara 11 hingga 13 Julai lalu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM105,650.
“Mangsa menyedari ditipu apabila mendapati laman web syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut dan segala perbualan sebelum ini sudah disekat,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat atau denda, jika disabit kesalahan.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran pelaburan atau pekerjaan dalam talian yang menjanjikan kaedah mudah serta komisen tinggi.
“Gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) seperti Semakmule, CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau Facebook BSJK serta Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC) talian 997,” katanya. – UTUSAN










