PETALING JAYA: Badan penarafan MARC Ratings Berhad mengiktiraf Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat dengan Penilaian Impak ‘Emas’ kerana berjaya memenuhi mandatnya dengan menyediakan pembiayaan, khidmat nasihat dan latihan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi.
Di samping itu, Bank Rakyat juga meningkatkan akses kewangan kepada kumpulan sosial yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, pengiktirafan ini bukan sahaja membuktikan komitmennya terhadap pembangunan lestari tetapi meningkatkan keupayaan dalam menyumbang secara langsung dan bermakna ke arah kesejahteraan alam sekitar dan sosial melalui Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat.
Katanya, rangka kerja itu telah dibangunkan sendiri oleh bakat dalaman dan diwujudkan untuk menetapkan prinsip panduan bagi penerbitan Sukuk Kelestarian, menyasarkan projek yang menyumbang kepada manfaat alam sekitar dan sosial.
“Kami percaya bahawa dengan melabur dalam projek hijau dan sosial, Bank Rakyat bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memastikan inisiatif kami memberi impak positif yang mampan kepada masyarakat serta alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, MARC dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, Bank Rakyat memenuhi mandatnya dengan menyediakan pembiayaan, khidmat nasihat dan latihan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi, di samping meningkatkan akses kewangan kepada kumpulan sosial yang kurang mendapat perkhidmatan.
Agensi penarafan tersebut percaya bahawa Sukuk Kelestarian berkenaan dijangka menyokong dan mengembangkan portfolio pembiayaan hijau dan sosial di Bank Rakyat, sejajar dengan Panduan Pelaksanaan Bank Negara Malaysia untuk Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan Taksonomi Berasaskan Prinsip Perubahan Iklim (CCPT).
Hasil daripada terbitan Sukuk Kelestarian tersebut akan disalurkan untuk membiayai perniagaan dan projek yang secara langsung menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tambah Mohammad Hanis, penilaian ‘Emas’ itu merupakan bukti kepada visi strategik dan dedikasi Bank Rakyat untuk memupuk impak alam sekitar dan sosial yang positif.
Katanya, rangka kerja ini direka untuk memenuhi piawaian tertinggi kelestarian dan ketelusan, serta memastikan setiap hasil yang diperoleh digunakan secara berkesan untuk menyokong projek yang selaras dengan nilai teras Bank Rakyat dan SDG.











