Sekolah kebangsaan, sekolah kita

Sekolah kebangsaan, sekolah kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lalu, Dewan Rakyat diberitahu bahawa enrolmen pelajar bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat hampir 50 peratus sejak tahun 2019 hingga tahun ini. Dimaklumkan, daripada hampir 89,000 pelajar di sekolah antarabangsa, 67 peratus adalah rakyat Malaysia.

Selain itu, sejak beberapa tahun yang lalu, jumlah pelajar bumiputera yang masuk ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) juga meningkat dan kini merangkumi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan murid di sekolah jenis tersebut.

Secara umumnya, ibu bapa yang terlibat berasakan sekolah antarabangsa menawarkan kualiti pendidikan lebih baik kerana menggunakan kurikulum sekolah luar negara. Sekolah antarabangsa juga dikatakan menawarkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Sistem pendidikan luar itu dianggap akan membuka peluang yang lebih luas untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dan ada prospek kerjaya lebih cerah.

Walaupun sekolah antarabangsa diwujudkan untuk meme­nuhi keperluan pendidikan anak warga asing terutama ekspatriat dan diplomat tetapi Malaysia tidak pernah menyekat anak tempatan masuk ke sekolah tersebut.

Namun, ada pihak termasuk ahli akademik yang beranggapan peningkatan enrolmen itu adalah akibat ibu bapa yang terlibat hilang kepercayaan terhadap mutu pendidikan di sekolah-sekolah arus perdana kebangsaan.

Benarkah kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan menurun? Sukar menjawab persoalan ini. Tidak pasti sama ada pernah dibuat kajian untuk mengukurnya. Mungkin juga ia sekadar tanggapan.

Kalau kemenjadian murid jadi ukuran, setiap tahun semakin ramai yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap tahun juga, ramai yang dihantar ke luar negara dan ramai yang beroleh keputusan terbaik di sana.

Kalau kita ‘google’, kita akan jumpa banyak kisah mengenai anak Melayu hasil didikan sistem pendidikan kebangsaan yang cemerlang di luar negara. Isu mereka enggan kembali dan berkhidmat di dalam negara, itu cerita lain.

Kurikulum sekolah kita sudah beberapa kali berubah. Tahun 2027 akan ada kurikulum baharu. Setiap perubahan itu tentunya ke arah yang lebih baik bagi menepati kehendak semasa dan perubahan dalam sektor pendidikan.

Justeru, tidak perlu risau berlebihan apabila enrolmen ke sekolah antarabangsa meningkat, apatah lagi dengan mendakwa kualiti sekolah kebangsaan sudah menurun. Kewujudan ratusan sekolah antarabangsa sebenarnya menunjukkan Malaysia bersikap terbuka. Anda boleh pilih untuk masuk ke sekolah pilihan anda.

Ia juga indikator bahawa negara ini semakin makmur dan juga semakin ramai orang Melayu yang banyak duit.

Hakikatnya, sebahagian besar anak Melayu akan terus mengharapkan sekolah kebangsaan. Justeru, teruskan usaha penambahbaikan kurikulum, menaik taraf infrastuktur sekolah serta peningkatan berterusan kualiti tenaga pengajarnya. Ini lebih penting.

Di samping itu, isu seperti sekolah daif di luar bandar dan pedalaman, sekolah bandar yang sesak dan keciciran atas apa juga alasan adalah cabaran yang perlu diatasi dengan segera.

Sekolah kebangsaan adalah sistem kita. Sistem yang akan membentuk jati diri anak-anak kita. – UTUSAN

  • Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia
×