PUTRAJAYA: Rutin harian seorang bapa meninggalkan sendirian anak berusia empat tahun di rumah berakhir tragedi apabila anak bongsunya itu ditemukan jatuh dari tingkat 16 pangsapuri di Presint 9, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian di kuarters penjawat awam, Blok 12 E3, Fasa 12, Presint 9 kira-kira pukul 7.50 pagi itu, kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapanya dalam keadaan masih tidur di dalam bilik utama.
“Difahamkan, bapa mangsa keluar menghantar anak sulung ke sekolah rendah, manakala ibunya pula keluar bekerja di sebuah tadika.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik tidur utama. Rutin harian kebiasaan mangsa akan tinggal sendirian sementara mangsa masih tidur sebelum dihantar ke taska di bawah blok kuarters penjawat awam itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
A. Asmadi berkata, terdahulu pihaknya melalui Pusat Kawalan Daerah menerima panggilan dari MERS 999 berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, selepas menerima maklumat berkenaan sepasukan anggota telah diarahkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, sebuah ambulans sudah membawa mangsa ke hospital.
A Asmadi berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya mendapati, lebih 50 individu termasuk ahli keluarga terdekat dan rakan sekerja ibu bapa mangsa hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Usaha wartawan bagi mendapatkan reaksi ibu bapa arwah mengenai kejadian itu gagal kerana mereka masih bersedih dengan kematian anak bongsu mereka itu.
Difahamkan, jenazah arwah dikebumikan di Presint 20, di sini.










