KUALA LUMPUR: Sebarang insiden atau kemalangan sehingga meragut nyawa di tapak projek pembinaan lebuh raya laluan awam akan didedahkan kepada umum.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan kajian, dapatan dan hasil siasatan kepada umum jika insiden itu berskala besar.
“Kalau kecil kerosakan, mungkin tak perlu,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) dalam soalan tambahannya meminta kerajaan menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) khususnya aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran laluan awam.
Beliau dalam masa sama turut bertanya sama ada kerajaan mahu mendedahkan laporan siasatan insiden yang meragut nyawa pengguna kepada umum.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, kerajaan juga tidak mempunyai masalah untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada jika berkeperluan.
“Supaya SOP ini benar-benar memberi impak untuk kita mengelakkan kesan buruk kepada proses atau pelaksanaan mana-mana projek.
“SOP ini adalah satu garis panduan supaya kita menggunakan cara terbaik. Disebabkan itu ia dinamik dan bukan statik,” katanya. – UTUSAN










