Speaker enggan kosongkan kerusi enam MP, hakis kepercayaan sistem Parlimen - Utusan Malaysia

Speaker enggan kosongkan kerusi enam MP, hakis kepercayaan sistem Parlimen

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengalih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi berkenaan.

Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, keputusan Johari telah menjejaskan kestabilan dan kedudukan beliau sendiri susulan kenyataan dakwaan wujudnya percanggahan membabitkan Perlembagaan Persekutuan serta parti itu.

“Apabila Speaker membuat keputusan begini, ia turut menghilangkan kepercayaan rakyat.

“Keputusan itu salah namun difahamkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa kes ini ke mahkamah mengikut saluran perundangan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Johari menerusi surat kepada Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee pada Selasa lalu menjelaskan pihaknya mendapati arahan-arahan di bawah Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perlembagaan Bersatu menafikan hak bekas Ahli Parlimen parti itu sebagaimana termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang menjamin hak keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada Ahli Parlimen berkenaan.

Enam Ahli Parlimen terlibat adalah Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Muhyiddin sebelum ini turut mengesahkan parti itu menerima surat daripada Johari menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk enam kerusi berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN