PETALING JAYA: Citaglobal Bhd. meterai perjanjian kerangka pembangunan bersama (JDFA) dengan Shanghai SUS Environment Co. Ltd. (SUS Environment), pembekal insinerator sisa pepejal terbesar di negara China untuk projek termasuk sisa kepada tenaga (WtE) di Pahang.
JDFA yang dimeterai melalui anak anak syarikat milik penuh Shanghai SUS Environment, SUS Holding Limited juga melibatkan projek penukaran sisa pertanian seperti tandan kosong kelapa sawit (EFB) dan sisa minyak sawit kepada tenaga biojisim di Malaysia.
Menurut kenyataannya, JDFA itu akan menjayakan matlamat SUS Environment dan Citaglobal untuk menangani masalah pelupusan sisa di Malaysia, sekali gus mempromosikan peralihan tenaga bersih negara.
“JDFA ini akan digunakan sebagai asas perjanjian pemegang saham untuk syarikat tujuan khas (SPV) iaitu 51 peratus oleh SUS Environment dan 49 peratus Citaglobal yang akan diperbadankan dalam tempoh enam bulan.
“Di bawah JDFA ini, SUS Environment akan menyediakan pelaburan awal dan pembiayaan untuk projek-projek yang telah dikenal pasti.
“SUS Environment juga akan menjalankan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek-projek ini serta akan menjalankan operasi komersial projek tersebut setelah siap,” katanya.
Jelasnya, antara tanggungjawab Citaglobal adalah mendapatkan sumber sisa perbandaran di Pahang, serta EFB dan sisa minyak di negara ini yang boleh ditukar menjadi elektrik dan seterusnya dijual semula sebagai tenaga boleh diperbaharui.
“Citaglobal juga akan memperoleh kelulusan peraturan dan berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjaya.
“Modal berbayar awal untuk SPV ini yang dicadangkan adalah RM1 juta, di mana RM510,000 oleh SUS Environment dan RM490,000 oleh Citaglobal, tertakluk kepada rancangan perniagaan dan pembangunan yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Pelaburan awal ini oleh SUS Environment dan Citaglobal akan digunakan sebagai modal kerja mengikut rancangan perniagaan dan pembangunan tersebut,” katanya.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, pengurusan sisa hari ini adalah tentang ‘menukar sampah menjadi harta’.
“Sisa boleh menjadi sumber yang berharga apabila diuruskan dengan cekap dan pengurusan sisa hari ini bukan lagi sekadar pelupusan, malah ia melibatkan pengurusan sisa yang efisien, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan memaksimumkan penggunaan sumber.
“Dengan SUS Environment, kami akan mengurangkan penjanaan sisa, mempromosikan pemprosesan semula sisa, dan memastikan pematuhan dengan peraturan alam sekitar,” ujarnya.-UTUSAN









