Jaheaik lupus 77 tan abu al-Quran sejak 2015

Jaheaik lupus 77 tan abu al-Quran sejak 2015

MOHD. Asri Mat Daud menyempurnakan gimik pelupusan abu al-Quran pada Program Pemuliaan Abu Al-Quran Bersama Penenggelaman Vessel Lucut Hak Maritim Malaysia Kelantan di perairan Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) melupuskan sebanyak 77 tan abu al-Quran di tengah laut sejak 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan al-Quran itu dilupus selepas kejadian bah kuning yang melanda Kelantan pada hujung 2014.

Menurutnya, sehingga kini, pendekatan yang diambil bagi proses pelupusan al-Quran adalah membakar kitab suci itu sebelum abunya ditenggelamkan di tengah laut.

“Program pemuliaan al-Quran ini merupakan antara program utama Jaheaik berikutan tuntutan rakyat sendiri yang mahukan al-Quran lama dan rosak dimuliakan. Kita namakan ia proses pemuliaan kerana tidak mahu menyebut melupuskan al-Quran.

“Jaheaik menerima banyak permohonan untuk memuliakan al-Quran. Hari ini, kita tenggelamkan sebanyak 2.07 tan abu al-Quran bersama tiga kapal nelayan asing yang telah dilucutkan hak,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemuliaan Abu Al-Quran Bersama Penenggelaman Vessel Lucut Hak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di perairan Kuala Besar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, kebanyakan abu ditenggelamkan dalam program itu adalah al-Quran yang mengalami kerosakan akibat banjir di Pasir Mas pada penghujung tahun lalu sehingga awal tahun ini.

Katanya, mushaf yang terkumpul dibakar menggunakan relau atau insinerator di Jaheaik sebelum ditenggelamkan pada kedalaman 21 meter di kawasan sejauh lima batu nautika dari Jeti Kuala Besar.

“Jarak kawasan penenggelaman abu al-Quran adalah bersesuaian dengan fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) pada 2006 yang mensyaratkan kawasan penenggelaman abu al-Quran perlu lebih lima batu nautika dari daratan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini