Pemandu mabuk rempuh anggota trafik direman empat hari - Utusan Malaysia

Pemandu mabuk rempuh anggota trafik direman empat hari

SEORANG lelaki ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes melanggar anggota polis trafik di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu mabuk yang merempuh seorang anggota polis trafik sehingga cedera parah di Kilometer 3.6, Jalan Pantai di sini semalam ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Terdahulu, suspek hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan tangan bergari.

Semalam, media melaporkan seorang anggota polis trafik yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian pukul 7.05 pagi itu, mangsa sedang membuat kawalan lalu lintas berikutan satu kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas di lorong kanan menghala ke Permas Jaya.

Ketika kerja penundaan dilakukan, tiba-tiba kereta Proton Wira dipandu suspek dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri lalu melanggar anggota polis berkenaan, mengakibatnya mangsa tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira tersebut sebelum melambung lalu terjatuh di tengah jalan, mengakibatkannya patah tulang pinggul kiri, luka pada bahagian muka dan dagu selain luka tangan kanan.

Ujian pernafasan mendapati pemandu kereta itu positif alkohol dalam darah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×