Pengawal keselamatan warga Indonesia tembak pegawai bank terlepas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan warga Indonesia tembak pegawai bank terlepas hukuman gantung

KOMPLEKS Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap bekas pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila, 47, yang didapati bersalah membunuh pegawai AmBank Cawangan Subang Jaya pada 2013.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

La Ode dijatuhI hukuman penjara 38 tahun berserta 12 sebatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia yang berasal dari Sulawesi, turut dihukum penjara 33 tahun berserta 12 sebatan bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 November 2013.

Dia didakwa membunuh Norazita Abu Talib yang ketika itu berusia 37, dalam bangunan AmBank di Nombor 5 dan 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya antara pukul 6 petang hingga 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

La Ode kemudian dilaporkan meminta rakan sekerja mangsa untuk mengisi wang kira-kira RM500,000 ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Selvi.

Pada 29 Februari 2016, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya mengekalkan hukuman gantung terhadap tertuduh selepas panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan La Ode kerana berpuas hati terdapat bukti mencukupi bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, sebelum itu.

La Ode menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap dan mencari kerja di Malaysia sebelum menjadi seorang pengawal keselamatan pada  2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×