Usaha percepat keluar kad fleet

Usaha percepat keluar kad fleet

ARMIZAN Mohd. Ali berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna di Ipoh. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat bersama lima syarikat minyak utama Khamis ini bagi menangani isu pengeluaran kad fleet untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada me­syuarat itu, kelima-lima syarikat minyak perlu mengemukakan dan membentangkan mekanis­me untuk menyegerakan pe­nge­luaran kad fleet.

Katanya, berdasarkan rekod terkini yang diperoleh sehingga Isnin lalu, sebanyak 165,897 kad fleet dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang memohon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kad fleet ini menggunakan dua kaedah iaitu melalui prabayar atau pascabayar. Kalau secara prabayar tiada isu sebab syarikat-syarikat minyak boleh mengeluarkan kad fleet segera.

“Isu timbul apabila syarikat memohon untuk menggunakan kaedah pascabayar kerana sudah pastilah syarikat-syarikat minyak utama ini perlu melihat kepada dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festiva Pengguna di Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau ber­ka­ta, kelewatan pengeluaran kad fleet oleh syarikat minyak mungkin disebabkan oleh sikap tunggu dan lihat segelintir syarikat meskipun pelaksanaan SKDS telah diumumkan lebih awal Mac lalu sebelum menya­saran minyak diesel dikuatkuasakan pada Julai.

“Mereka tunggu penyasaran subsidi diumumkan barulah memohon. Jadi, apabila kerajaan umumkan, baru ramai yang memohon hingga menyebabkan permintaan tinggi dan berlaku tunggakan.

“Dari segi stok, semua syarikat minyak sebenarnya mempunyai satu juta stok kad fleet. Sebelum penyasaran bermula, kita telah mendapat komitmen daripada kelima-lima syarikat minyak ini untuk mereka menyediakan satu juta kad fleet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini