TUMPAT: Anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mendedahkan dia sempat melihat salah seorang penyeludup menghalakan pistol ke arah dia dan rakan-rakan semasa melakukan rondaan rutin di sempadan Malaysia-Thailand di perairan Sungai Golok, Pengkalan Kubor pada 19 Jun lalu.
Anggota berusia 39 tahun itu berkata, dia bertindak memusingkan bot ronda bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingin berlaku.
“Ketika itu kami berapa pada jarak kira-kira 30 meter (m). Semasa melakukan rondaan pada pukul 9.30 pagi saya bersama dua lagi rakan telah ternampak lebih 15 bot galah di kawasan sungai berkenaan.
“Kesemua bot tersebut membawa muatan tong plastik dipercayai mengandungi petrol serta diesel. Sejurus menyedari kehadiran kami, mereka semua telah beredar dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, susulan itu dia terus bertindak menyasarkan sebuah bot yang paling hampir dan menuju ke arahnya.
Katanya, bagaimanapun pemandu bot galah telah bertindak melompat masuk ke dalam sebuah bot lain yang menghampirinya sebelum melarikan diri.
“Semasa kami sedang berusaha membawa balik bot milik penyeludup itulah, satu das tembakan rambang dilepaskan. Tidak lama kemudian kami ternampak seorang daripada mereka sedang menghala pistol dan saya terus memusingkan bot ronda kami untuk mengelak.
“Selepas itu, kami terdengar satu lagi das tembakan dilepaskan dan anggota lain bertindak memutuskan ikatan tali yang mengikat bot galah milik penyeludup pada bot ronda untuk tujuan keselamatan sebelum terus pulang ke jeti kastam,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, kumpulan yeludup bertindak melepaskan dua das tembakan ke udara dan satu ke arah sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan selepas kegiatan penyeludupan petrol bersubsidi dan diesel di kawasan pangkalan haram Pok Mat, Kampung Simpangan di sini diserbu agensi berkenaan pada Rabu lalu.
Serbuan pukul 9.45 pagi itu dilakukan oleh lima anggota yang sedang melakukan rondaan rutin di Sungai Golok yang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas mengesan 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti memunggah bahan api dipercayai petrol bersubsidi dan diesel.-UTUSAN










