PILIHAN raya Sungai Bakap 6 Julai lalu biarpun sekadar pilihan raya biasa yang perlu dilalui dalam sistem demokrasi, ia harus diambil iktibar berharga oleh parti pemerintah.
Ini khususnya oleh anggota Kabinet itu sendiri.
Ada 27 menteri dalam kerajaan Madani hari ini. Tetapi jika ada salah seorangnya yang hentam keromo sahaja, apa lagi menerusi bait-bait ucapannya di waktu-waktu genting seperti kempen pilihan raya, alahai `memang sukar diselamatkan’.
Dalam hal ini Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berbuat sesuatu. Berkeras. Jawatan menteri bukan satu jawatan yang diberi kerana ‘dia baik hati, maka diletakkan dia di portfolio itu’. Tidak boleh gadai sistem kerajaan hanya untuk gembirakan mereka ini.
Perlu ada komitmen tinggi menteri untuk berubah dari segi penampilan dan perawakan, apalagi tutur kata atau komunikasi untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dalam cabaran semasa getir ini.
Apa yang penting, menteri tidak boleh lagi berselindung di bawah teguran begitu sahaja. Mereka harus duduk di depan, mendengar apa yang Perdana Menteri mahukan. Perlu ada perubahan dan peningkatan dalam tempoh tiga tahun menjelang pillihan raya umum ke-16 nanti.
Kabinet adalah jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Sejarah kerajaan perwakilan, sebahagian besarnya merupakan kisah bagaimana beberapa Perdana Menteri dan Presiden memacu dan mengatur pentadbiran mereka sendiri – sama ada dalam kemelut politik atau keadaan ekonomi tidak menentu.
Masa ini tugas seorang menteri cabarannya cukup getir dengan isu-isu berkepentingan rakyat yang tidak menang tangan untuk dijenguk dan diselesaikan. Kementerian utama antaranya kewangan, ekonomi, pendidikan, kepenggunaan, pertanian dan luar bandar menuntut komitmen bukan sedikit.
Perilaku seorang menteri dan tabiat umum memainkan peranan penting dalam menentukan untung nasib seorang menteri. Ini melibatkan masa-masa lepas dirinya dan perilaku terkini termasuk rekod peribadi serta kelakuan yang menyangsikan. Apa lagi perbuatan tidak bermaruah atau jenayah yang boleh melibatkan tuduhan amalan rasuah, kesahihan bankrupsi atau perkara-perkara yang dianggap kritikal terhadap kepimpinan.
Namun jika `kecacatan’ seseorang menteri itu datangnya dari sahsiah dirinya yang tidak boleh ditegur, asyik dia sahaja yang `berjalan’ betul, maka sukar untuk Kabinet dikendalikan dengan baik oleh Perdana Menteri.
SAHSIAH
Perlu diterangkum rapi dalam diri seorang menteri itu sahsiah, peningkatan kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) nya yang barangkali sudah terabai lama. Ini akan mengasuhnya sebagai insan seimbang. Bukannya sekadar modal insan yang berkait gagasan neoliberal barat (bersendi desakan pasaran). Jika tidak, sukar dipupuk kehalusan jiwa.
Semua ini memainkan peranan dalam menentukan nasib atau nasib malang seorang menteri yang berkhidmat atau bakal menjadi menteri.
Seorang menteri yang berkhidmat kepada orang yang lebih berkuasa mesti tahu dari mana datangnya rezeki mereka. Orang awam akan tahu pemimpin mana kaki ampu atau bodek dan yang mana benar-benar berfikir.
Mengatur program atau perkenalkan inisiatif baharu daripada sesebuah kementerian, harus tahu khalayak dituju. Siapa sasaran utama. Jangan hentam keromo sahaja sebab banyak mata memandang, telinga mendengar. Lagi-lagi musuh politik, yang peluang sebesar zarah pun dalam politik Malaysia hari ini akan dimanipulasi sehabis boleh.
Jangan populis untuk survival diri dan politik semata-mata. Anda ada timbalan, mesti berganding bahu, senada. Jangan timbalan menteri pula lebih sudu dari kuah,
Pada 1980an dan 1990an, di peringkat timbalan menteri pun penyandangnya sudah tunjukkan potensi terbaik. Ada beberapa timbalan menteri sampai berkhidmat melebihi 10 tahun sebelum diangkat menteri. Suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh. Jadi, bersyukur untuk anda yang terus melalui ‘tingkap, bukan pintu’.
Harapan Perdana Menteri kepada barisan Kabinetnya cukup tinggi. Prestasi Petunjuk Utama (KPI) para menteri akan memandu arah Malaysia yang betul. Suatu ketika kerajaan sebelum 2018, bermula tahun 2009 membelanjakan wang negara untuk membuat penilaian objektif para menteri. Tetapi ia dibuat keterlaluan sehingga ada `guru besar’ pula yang menjadi pengawas pihak kerajaan untuk semua menteri. Menteri dari seberang Laut China Selatan itu yang membuat penentuan KPI, tapi dirinya sendiri tidak ada KPI. Dia tukang catur sahaja.
MARKAH
Maka elok Perdana Menteri sendiri sahaja membuat penentuan markah para menterinya. Ia bukan sahaja soal menyalurkan duit yang banyak untuk pentadbiran hal ehwal kementerian tetapi berkisar aspek keberkesanan. Menteri yang tidak deliver perlu tahu `pintu keluar’ mereka.
Juga tidak kurang pentingnya Kerajaan Perpaduan harus menghindarkan Little Napoleon dalam kementerian dan jabatan kerajaan. Kelibat ini hanya merosakkan imej bos mereka.
Hormatilah suara kebebasan akhbar. Akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia institusi berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan luahan hati dan aspirasinya melalui isu-isu disiarkan akhbar. Jangan ada little Napoleon `mengacau’ kebebasan ini seperti mana di masa-masa lepas.
Dengan keanggotaan jemaah menteri kerajaan perpaduan terdiri parti-parti yang dahulunya pernah menjadi musuh ketat dalam politik, eloklah masing-masing lupakan sementara sengketa. Tahan diri untuk sekurang-kurangnya dalam empat tahun ini sahaja.
Apabila cukup haul atau tempohnya nanti kerajaan dibubar atau terbubar sendiri untuk memasuki gelanggang pilihan raya umum ke-16, waktu itu terserahlah kepada empunya parti untuk membuat percaturan dan perhitungan.
Untuk apa parti yang duduk dalam kerajaan `tembak kaki’ (Kabinet) sendiri dengan membangkitkan hal-hal berunsur perkauman dan cauvinistik?
Dengan keluasan Malaysia 329,847 km persegi, jumlah menteri kurang 30 orang sedemikian memadai. Perdana Menteri banyak bergantung kepada keupayaan Kabinetnya – yang sewajarnya dianggotai menteri-menteri yang berkaliber serta memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan.
Ambil iktibar dari PRK Sungai Bakap – yang akan disusul oleh beberapa PRK dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang. – Mingguan Malaysia










