DEMI menjaga kelestarian alam sekitar, ramai pengusaha perniagaan makanan mula beralih menggunakan penyedut minuman yang boleh dikitar semula atau bersifat biodegradasi, dibuat daripada kertas, logam atau buluh dan ada yang menggunakan sayur kangkung.
Lebih menarik, sebuah restoran di Thailand berinovasi menggunakan batang sayur kangkung yang berfungsi sebagai penyedut minuman.
Broccoli Revolution merupakan restoran berkonsepkan makanan vegetarian yang terdapat di ibu negara, Bangkok berkonsepkan mesra pelanggan.
Restoran ini mengumumkan tidak lagi menggunakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan di cawangannya, empat tahun lalu.
Sebagai ganti, pelanggan dapat memilih untuk menggunakan penyedut kangkung atau membeli satu set penyedut minuman yang mesra alam sekitar yang dijual di restoran ini.
Dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik, Broccoli Revolution mengubah batang kangkung menjadi penyedut minuman.
Batangnya berlubang dan berdiameter sekitar 1 hingga 1.5 sentimeter.
Restoran ini dilaporkan mendapat bekalan sayur kangkung dari pasar tempatan.
Walaupun harganya dikatakan lebih mahal berbanding plastik, namun, paling penting ia adalah mesra alam sekitar.

PENCEMAR PLASTIK TERBESAR DUNIA
Laporan dari Ocean Conservancy mendedahkan Thailand adalah antara pencemar plastik terbesar di dunia hampir sama dengan China, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Berdasarkan data tersebut, Kerajaan Thailand menggubal undang-undang untuk melarang penggunaan plastik sekali pakai seperti penyedut minuman dan cawan pada tahun 2022.
Sejak 2019, pusat beli-belah, pasar raya dan kedai serbaneka utama di Thailand berhenti memberikan beg plastik sekali guna.
Sejumlah 43 syarikat termasuk CP ALL Pcl, yang mengendalikan lebih 10,000 kedai serbaneka 7-Eleven di Thailand dan peruncit terbesar di negara itu, Central Group, memainkan peranan mereka untuk menghentikan penggunaan beg plastik.
7-Eleven hanya menyediakan beg plastik kepada pelanggan atas permintaan, manakala 137 kedai lain berhenti berbuat demikian sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan sebelum larangan itu berkuat kuasa.
Selain itu, kerajaan Thailand mengharamkan tiga jenis plastik iaitu mikrobead, penutup botol dan okso boleh urai, sejak lima tahun lalu.
Berdasarkan Peta Hala Tuju Pengurusan Sisa Plastik 2018-2030, Thailand mengharamkan beg plastik ringan berketebalan kurang 36 mikron, pembungkusan makanan Stirofoam, cawan plastik sekali guna dan penyedut minuman, dua tahun lalu.
Thailand menetapkan untuk mencapai 100 peratus kitar semula sisa plastik menjelang 2027.
Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand (PCD) bekerjasama rapat dengan pemain industri plastik untuk mencari bahan alternatif bagi menggantikan plastik.
SEKAT IMPORT SISA PLASTIK
Dalam pada itu, Thailand akan menyekat import sisa plastik dan mengharamkan penghantaran bahan itu untuk industri kitar semula mulai 2025.
Usaha itu bagi menghentikan perbuatan melambakkan ‘sampah plastik’ dari negara kaya, yang menjejaskan kesihatan rakyat dan mencemarkan udara serta air di Thailand.
Plastik yang memasuki program kitar semula di negara Barat selalunya dihantar oleh broker ke negara lebih miskin, yang memasuki ekosistem besar kitar semula dengan hanya menggunakan bahan berkualiti tinggi.
Barangan lain yang tidak dapat digunakan sering dibakar atau dibuang di tapak pelupusan sampah, sekali gus mencemari negara penerima.
Negara-negara di wilayah selatan menanggung beban pencemaran plastik sedunia, satu ancaman yang kini secara langsung mengancam kehidupan marin dan sistem makanan serta air. – AGENSI- UTUSAN











