Shireen Abu Akleh digelar ‘anak perempuan Palestin’

Shireen Abu Akleh digelar ‘anak perempuan Palestin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA akan hantar berita kepada kamu sebaik sahaja gambarannya jelas”. Ini mesej terakhir dihantar Shireen Abu Akleh kepada rakan sekerjanya di Al Jazeera pada pukul 6.13 pagi, 11 Mei 2022.

Pesanan itu dihantar hanya beberapa minit sebelum beliau ditembak mati pasukan tentera Israel dalam serbuan ke kem pelarian Jenin, di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Pada awal tahun 2022, Tebing Barat mula menyaksikan gelombang keganasan terburuk sejak intifada kedua berakhir pada 2005. Shireen sedang membuat liputan dari Jenin pada 11 Mei, ketika Angkatan Pertahanan Israel (IDF) melakukan serbuan di sana.

Kesemua wartawan yang berada di bandar itu bagi membuat liputan serangan tentera Israel mengenakan jaket biru tertera perkataan ‘PRESS’, sebagai pengenalan diri, pengamal media.

Malangnya, Shireen yang ketika itu berusia 51 tahun tetap menjadi korban peluru rejim Zionis.

KENALI SHIREEN ABU AKLEH

Shireen dilahirkan dalam keluarga beragama Kristian Palestin di Baitulmuqaddis. Beliau dilahirkan empat tahun selepas Baitulmuqaddis Timur diduduki Israel dalam Perang Enam Hari (1967), dan Shireen tergolong sebagai generasi yang tidak pasti dalam penduduk wilayah itu.

Ketika zaman kanak-kanak, Shireen tinggal bersama saudaranya di New Jersey.

Dia memperoleh kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS), namun terus menetap di Baitulmuqaddis di kawasan kejiranan zaman kecilnya di Beit Hanina Pada 1987, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains dan Teknologi Jordan dalam bidang seni bina.

Sekitar Disember tahun itu, intifada Palestin pertama tercetus selepas bertahun-tahun kekecewaan yang meningkat terhadap dasar Israel.

Bertitik tolak dari situ, Shireen bersemangat untuk menyebarkan kisah rakyat Palestin kepada dunia dan akhirnya memutuskan untuk menukar pengajian kepada jurusan kewartawanan di Universiti Yarmouk.

“Saya memilih kewartawanan untuk dekat dengan orang ramai. Mungkin bukan mudah untuk mengubah realiti, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh membawa suara mereka kepada dunia,” kata Shireen kepada Al Jazeera, sebulan sebelum kematiannya.

KERJAYA WARTAWAN

Shireen menyertai Al Jazeera pada 1997 sebagai wartawan lapangan. Ia adalah kali pertama beliau muncul dalam siaran Al Jazeera menerusi liputan Ketua Biro Palestin saluran Arab, Walid Omary.

Pada masa itu, hanya beberapa wartawan Palestin wanita yang bekerja sebagai pengamal media dan Shireen menginspirasikan lebih ramai wanita muda yang bercita-cita untuk berkecimpung dalam kerjaya tersebut.

Sepanjang lebih 25 tahun menjadi pengamal media, beliau sudah melaporkan pelbagai peristiwa dan insiden penting di Palestin, termasuk ulang tahun ke-50 Nakba pada 1998 dan pencerobohan Israel di Tebing Barat sekitar tahun 2002.

Sejarah Palestin di bawah pendudukan terus dibongkar dan Shireen tetap berada di lapangan dalam setiap langkah untuk memberi penerangan mengenai jenayah yang berlaku.

Daripada kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat pada 2004 sehingga ke pembunuhan besar-besaran dan perobohan berterusan yang berlaku hari ini, Shireen memastikan suara Palestin didengari.

Selain kerjaya di Al Jazeera, Shireen turut membantu melatih pelajar dalam kewartawanan di Tebing Barat. Beliau berkhidmat di Pusat Pembangunan Media Universiti Birzeit berhampiran Ramallah dan mengajar kursus media di universiti itu.

PENGAKHIRAN HAYAT

Semangat Shireen terhadap kerjaya wartawan tidak boleh disangkal kerana sehingga ke pengakhiran hayat beliau masih mendedahkan realiti nasib Palestin dan kezaliman rejim Israel.

Rakaman insiden tembakan Israel terhadap Shireen tersebar secara meluas dalam talian dan kematian tokoh terkemuka dalam perkhidmatan berita Arab itu juga mendapat perhatian antarabangsa.

Perarakan pengebumiannya, antara salah satu terbesar di Palestin, mencerminkan keberanian dan komitmen Shireen mendedahkan realiti yang tidak diceritakan oleh orang lain sepanjang perjalanan kerjaya 25 tahun bersama Al Jazeera.

Meskipun dalam kematiannya, Shireen terus mendedahkan realiti kejam pasukan pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin sehingga beliau digelar sebagai ‘anak perempuan Palestin’. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×