SEREMBAN: Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah negeri yang mensabitkan seorang lelaki dalam kes ajaran sesat Millah Abraham.
Ketua Pendakwa Syarie, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, pihak pendakwaan menghormati keputusan yang telah dibuat namun berasakan hukuman dijatuhkan terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan dilakukan.
“Kami juga berpendapat hukuman tegas dan keras perlu dijatuhkan bagi membendung kes-kes ajaran sesat yang berleluasa tumbuh bagai cendawan khususnya di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Menurut Raja Mazelan, pihaknya percaya mahkamah telah terkhilaf dan gagal mempertimbangkan keputusan yang wajar daripada beberapa sudut tertentu khususnya kesalahan yang telah dilakukan adalah sangat serius, berat dan melibatkan akidah.
“Sewajarnya perkara ini diberikan perhatian yang sangat serius oleh mahkamah dan tidak boleh sesekali disamakan dengan kesalahan lain,” katanya
Beliau mengulas hukuman denda RM2,000 dan penjara sebulan yang dijatuhkan terhadap seorang pemuzik jalanan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan kelmarin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan sebulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya berusia 51 tahun dengan menyatakan ‘Selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru’.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas di Tampin antara 1 September hingga 30 September 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019.
Sebelum itu, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum dan penjara.
Beliau berpandangan kesalahan dilakukan adalah berat kerana berkaitan akidah dan boleh memberi kemudaratan kepada agama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu dikenakan hukuman ringan dan mengaku telah bertaubat serta tidak akan mengulanginya lagi. – UTUSAN










