LARUT: Buah durian segar dari negara ini akan mula dieksport ke China pada Oktober depan.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli berkata, ia merupakan satu sejarah apabila buat pertama kali buah durian segar dari negara ini dieksport ke China.
Katanya, sebelum ini hanya durian sejuk beku dibenarkan dieksport ke negara itu.
“Kelulusan untuk mengeksport durian segar ke China hasil lawatan Premier Republik Rakyat China ke negara ini baru baru ini.
“Dianggarkan 500 hingga 1,000 tan metrik durian segar akan dieksport ke China buat julung kalinya pada Oktober tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sesi libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama pengusaha durian bagi pasaran China di Pusat Operasi FAMA Batu Kurau di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi dan Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri.
Menurut Aminuddin, Pusat Operasi FAMA Batu Kurau di sini merupakan premis pertama pengeluaran hasil durian untuk dieksport.
Beliau berharap menerusi program itu pekebun kecil dapat memanfaatkan pasaran dan rangkaian sedia ada.
“Ini supaya hasil tanaman mereka dapat dikumpulkan di tempat pengumpulan seterusnya dieksport ke China,” katanya.
Sementara itu, mengenai laporan pekebun durian di beberapa kampung di Pontian mendakwa pengeluaran durian di kawasan itu terjejas 50 peratus musim ini akibat cuaca tidak menentu, Aminuddin berkata, pihaknya akan meneliti isu yang dibangkitkan itu.
Jelas beliau, Fama akan dapatkan maklumat yang terperinci berhubung dakwaan tersebut.
“Saya tidak tahu kedudukan sebenar kerugian yang dialami oleh para pekebun durian di kawasan terbabit.
” Di peringkat daerah di situ akan mengenal pasti apa masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka.
“Kita akan adakan perjumpaan dengan agensi-agensi seperti Mardi dan lain-lain bagi mengenal pasti punca pengeluaran durian mereka terjejas sekiranya selain daripada El Nino,” katanya. – UTUSAN











