MELAKA: Kerja-kerja pembangunan semula kawasan Melaka Sentral dijangka bermula hujung tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perjanjian projek berkenaan sedang disiapkan dan akan dimuktamadkan pada hujung Ogos atau awal September ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri menerima banyak tawaran daripada syarikat swasta yang berminat untuk melaksanakan pembangunan bercampur di kawasan tersebut.
“Kita telah menilai banyak syarikat sejak 2020 lagi. Ada yang datang hendak tandatangani (perjanjian), namun tidak mempunyai kekuatan dari segi kewangan. Kini kita sudah ada syarikat yang akan menjalankan usahasama membangunkan semula Melaka Sentral.
“Insya-Allah kerja-kerja akan bermula hujung tahun ini dan perjanjian sedang disiapkan dan akan dimuktamadkan dalam bentuk teknikal serta komersial sebelum hujung Ogos atau awal September. Pembangunan bercampur ini membabitkan pembinaan kondominium, hotel dan pusat perniagaan baharu,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Terdahulu, Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) pada ucapan penangguhan membangkitkan isu kerosakan bangunan Terminal Melaka Sentral dan status pembangunan semula tanah berkenaan.
Sementara itu, Ab. Rauf ketika ucapan penggulungan memberitahu, Zon D Terminal Melaka Sentral tidak lagi selamat untuk diduduki atau melakukan sebarang aktiviti menyebabkan kerosakan tersebut tidak diperbaiki.
Katanya, dua syarikat telah dipilih untuk membina semula terminal berkenaan dengan kos sebanyak RM130 juta secara kaedah usahasama penswastaan (PFI). – UTUSAN










