SEREMBAN: Kadar kandungan biotoksin yang tidak stabil selain penemuan alga berbahaya spesies Alexandrium dalam jumlah yang banyak antara faktor larangan pengeluaran dan pengambilan hasil kupang dan kerang-kerangan masih dikuatkuasakan di negeri ini.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, walaupun hasil ujian makmal menunjukkan kadar biotoksin pada kupang sudah berada di bawah had pengambilan selamat untuk manusia namun bacaannya tidak stabil.
“Had pengambilan selamat untuk manusia adalah di bawah 800 per bilion (ppb) namun hasil sampel makmal kebelakangan ini tidak stabil, kadang kala ia menunjukkan bacaan 470 ppb kemudian ada naik kembali menjadi 600 ppb, oleh itu kami ambil keputusan untuk masih membuat larangan tersebut.
“Selain kandungan biotoksin, pertimbangan kami juga berdasarkan alga berbahaya spesies Alexandrium yang dijumpai dalam jumlah yang banyak. Alga ini wujud semulajadi, jika bilangan kecil ia tidak memberi impak kepada kupang namun jika terlampau banyak ia akan memberikan kesan dengan pengumpulan biotoksin pada sel kupang.
“Kami masih menunggu tiga keputusan ujian makmal sebelum kami memberikan kebenaran semula kepada pengeluaran hasil kupang dan kerang-kerangan di Port Dickson mungkin dalam beberapa minggu lagi, saya boleh maklumkan ia kini ke arah positif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan kupang di Port Dickson dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan selepas analisis mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Analisis tersebut dibuat selepas terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.
Pada 21 Mei lalu, hasil ujian makmal menunjukkan kandungan biotoksin pada kupang di Port Dickson mencatatkan bacaan 498 ppb.
Kasim berkata, setakat ini sebanyak 15 sampel kupang diambil bermula 2 April lalu dan bacaan terkini menunjukkan kadar biotoksin sudah di bawah 200 ppb.











