Malaysia rugi  RM25 bilion akibat kemalangan

Malaysia rugi  RM25 bilion akibat kemalangan

ANTHONY LOKE -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terpaksa menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu mewakili 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata,  jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian pada tahun terdahulu.

“Berdasarkan statistik kematian dan kecederaan parah dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan perangkaan kemalangan jalan raya dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP), negara dianggarkan mengalami jumlah kerugian hampir RM18 bilion pada 2010 iaitu 2.2 peratus daripada KDNK.

“Ia meningkat kepada lebih RM25 billion pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab persoalan ditimbulkan Pang Hok Liong (PH-Labis)   yang meminta penjelasan jumlah kerugian ditanggung akibat kemalangan setiap tahun dan langkah efektif diambil bagi mengatasi masalah itu.

Bagi mengatasi masalah itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan (MoT) membangunkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 (PKJRM 2022-2030).

“Penetapan PKJRM 2022-2030 adalah untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030.

“Ia selaras dengan seruan dan sasaran Resolusi 74/299, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Selain itu, menurut beliau, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD).

Beliau berkata, inisiatif itu bermatlamat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Melalui kerjasama rentas MoT, ia  secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko nahas jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×