SAUDARA PENGARANG,
PENDANAAN awam berasaskan ekuiti (ECF) adalah pasaran berbentuk dua hala yang bertujuan untuk menghubungkan usahawan dengan pelabur. Platform ini membolehkan usahawan mengiklankan perniagaan permulaan mereka di laman web.
Berdasarkan Laporan Tahunan 2022, Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF), jumlah dana yang diperoleh daripada ECF berjaya membuat sebanyak 241 kempen dan mendapatkan dana untuk pelaburan sebanyak RM461 juta. 100 peratus daripada dana ECF yang dikumpulkan oleh industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pada 2022, sebanyak 28 peratus daripada kempen yang dilancarkan untuk perniagaan di luar lembah Klang, syariah (lapan peratus) dan industri pertanian (26 peratus).
Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai permintaan mendadak dalam pasaran ECF yang boleh menghakis keyakinan pelabur. Salah satu daripadanya ialah keperluan mendesak untuk amalan penilaian saham yang adil.
Penilaian saham adalah sangat penting di ECF, bukan sahaja semasa fasa penjanaan modal (penilaian pra wang) tetapi juga apabila pelabur keluar daripada pelaburan mereka (penilaian selepas wang).
ECF perlu mengambil kira juga cara menampung kerugian supaya secara purata pelabur daripada ahli platform mendapat pulangan yang berbaloi dengan risiko yang diambil. Pelabur boleh menjual saham mereka pada masa depan untuk mendapatkan semula wang yang dilaburkan.
Selain itu, pengendali platform ECF menjana pendapatan berdasarkan dana yang diperoleh melalui kempen. Saiz modal berkait rapat dengan penilaian yang ditetapkan oleh penerbit.
Akibatnya, kekurangan ketelusan risiko memberi beban yang lebih tinggi kepada pelabur ECF, memaksa mereka untuk mengambil bahagian risiko yang lebih besar daripada keseluruhan cabaran perniagaan berbanding dengan pulangan yang dijangkakan.
Rangka kerja kawal selia yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) berfungsi sebagai asas yang baik untuk memastikan kemampanan ECF.
Untuk mencapai hasil yang adil, dasar SC harus mencari keseimbangan antara peranan agensi itu dalam melindungi pelabur dan memudahkan akses kepada kewangan serta dapat mengurangkan kekangan kewangan PKS.
Peraturan yang lebih ketat bukanlah jalan penyelesaian kepada penilaian saham yang adil kerana ia akan meningkatkan kos yang lebih tinggi untuk pengendali platform ECF.
Kedua, usahawan yang memilih dana yang dikumpul melalui ECF memerlukan lebih fleksibiliti dan kos urus niaga yang lebih rendah disebabkan risiko tinggi yang wujud bagi perniagaan sebegini untuk lebih maju.
Oleh itu, penting bagi pelabur untuk menjalankan penilaian risiko yang menyeluruh dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari pelaburan mereka. – UTUSAN
DR. MOHAMED HISHAM HANIFA
dan DR. ANNA AZRIATI CHE AZMI
Universiti Malaya










