KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan garis panduan baharu berkaitan lesen pengendalian umrah bulan depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, garis panduan itu berhubung permohonan tambah bidang lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah atau ziarah.
Menurut beliau, garis panduan itu merangkumi beberapa syarat untuk memastikan syarikat pengendali umrah menjalankan perniagaan mengikut ketetapan, mengambil kira semua aspek bagi membendung kes tidak diingini melibatkan bakal jemaah.
“Kerajaan melakukan beberapa siri libat urus sejak tahun lalu hingga tahun ini. Berdasarkan siri libat urus ini, kami akan mengakreditasi syarikat umrah supaya lebih teratur.
“Ia termasuk bagi mengekang kes penipuan. Walaupun jumlah (kes) tidak signifikan tetapi masih memberi petunjuk yang tidak sihat untuk industri umrah.
“Kriteria yang akan diumumkan pada Ogos (bulan depan) akan pastikan syarikat pengendali umrah ini benar-benar melakukan perniagaan secara yang dijanjikan oleh mereka,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung syor kepada kementerian jika mempertimbang menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti aduan pakej umrah termasuk mahu mengetahui usaha dirangka bagi membantu mangsa penipuan umrah.
Difahamkan, antara syarat baharu yang bakal diperkenal dan dikuatkuasakan mengandungi beberapa perkara menyaksikan pengendali umrah perlu menyediakan jaminan bank bernilai RM200,000 dan modal berbayar syarikat baharu pengendali umrah ditetapkan minimum RM500,000.
Syarat baharu juga menetapkan syarikat pengendali perlu mempunyai guru agama atau pembimbing, mengemas kini laporan kewangan syarikat dan mengemukakan status kewangan ahli lembaga pengarah (ALP).
Dalam syarat itu nanti turut menggariskan penguatkuasaan kontrak perjanjian dengan bakal jemaah umrah dan kontrak perjanjian dengan syarikat pengendali di Arab Saudi.
Sementara itu, Khairul Firdaus berkata, Akta Industri Pelancongan 1992 akan diperkasa bagi memastikan tahap penguatkuasaan lebih baik selari dengan usaha mengekang kes penipuan pakej pelancongan termasuk pakej umrah.
Berdasarkan statistik dikongsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2019 hingga Mei lalu, sebanyak 252 kertas siasatan dibuka melibatkan kes penipuan umrah dengan kerugian sebanyak RM9.81 juta.
Statistik Tribunal Tuntutan Penggunaan Malaysia (TTPM) dalam tempoh sama mencatatkan 1,549 kes dengan jumlah tuntutan RM29.58 juta dan award RM16.37 juta.
Bagi 2023 hingga Mei 2024, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima 349 aduan membabitkan isu umrah dengan kerugian sebanyak RM14.09 juta.
MOTAC sudah membuka 19 kertas siasatan berkaitan umrah dengan lapan kes dikompaun sebanyak RM241,000, manakala yang lain masih dalam siasatan ke atas agensi pengendali umrah.
MOTAC turut menggantung dan membatal lesen bagi dua agensi pengendali umrah berhubung dengan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).- UTUSAN








