PETALING JAYA: Negara memerlukan sekurang-kurangnya 30 pusat jagaan autisme untuk menampung jumlah kanak-kanak istimewa itu dan meringankan beban ibu bapa.
Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, jumlah pusat jagaan autisme di negara ini membimbangkan dengan hanya 17 buah wujud setakat ini dan sedikit sebanyak membuntukan ibu bapa terbabit.
Menurutnya, kekurangan pusat jagaan tersebut menyusahkan ibu bapa yang bekerja dan perlu memberi pantauan penuh kepada anak istimewa mereka.
“Sudah beberapa kali kertas kerja dihantar kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk perbanyakkan pusat jagaan tersebut.
“Namun, maklum balas yang diterima agak mengecewakan apabila mereka mengatakan sukar untuk beri peruntukan secukupnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekoran banyak jabatan dan NGO memerlukan keperluan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, Nasom akur berikutan kos untuk membuka pusat jagaan autistik sebanyak RM40,000.
Sehubungan itu, mereka mencadangkan untuk membukanya di setiap daerah.
“Sehingga kini, kami menggunakan duit poket sendiri untuk menggerakkan operasi semua pusat jagaan. Dalam setahun kami memerlukan perbelanjaan sebanyak RM7 juta tetapi yuran yang terkumpul hanya RM4 juta, baki lagi RM3 juta kami harus cari penyumbang,” ujarnya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia kekurangan pusat jagaan autisme apabila hanya mempunyai 17 pusat jagaan itu di seluruh negara dengan hanya sebuah setiap negeri.
Megat Ahmad Shahrani berkata, penjagaan anak-anak autisme di luar bandar amat membimbangkan kerana kekurangan pendedahan dan kaedah yang sewajarnya.
Beliau juga menyarankan lebih banyak pusat jagaan itu diwujudkan di kawasan luar bandar bagi membolehkan golongan ibu bapa cakna dengan keperluan kanak-kanak autisme.
“Jumlah pusat jagaan autisme sudah banyak dibuka di sekitar Lembah Klang dan setiap negeri memerlukan lagi tiga buah yang akan ditempatkan di beberapa daerah,” katanya. – UTUSAN











