MELAKA: Melaka menerima peruntukan berjumlah RM43.5 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi Projek Sistem Pengairan Sawah Padi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang Fasa 2.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia diluluskan Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Menurut beliau, jumlah itu termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM12 juta daripada kos asal yang diluluskan Kementerian Ekonomi pada Mac tahun ini, secara geran Persekutuan melalui Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian.
“Projek ini tertangguh sejak 2012 sebelum dimulakan kembali pada 2019. Kerajaan Persekutuan meluluskan semula projek ini dengan jumlah RM31.5 juta.
“Kemudian berlaku masalah membabitkan isu pengambilan tanah yang memerlukan kos tambahan sebanyak RM12 juta. Kita telah mohon dan mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM43.5 juta,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai Sistem Pengairan Sawah Padi DUN Klebang Fasa 2 yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Tambah Muhamad Akmal, kerajaan negeri sedang mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk projek infrastruktur pengairan sokongan di Bukit Rambai.
Katanya, ini kerana kawasan itu tidak mempunyai sistem pengairan dan saliran yang lengkap kerana terletak di luar kawasan jelapang padi.
“Sebahagian besar kawasan skim ini akan terus berhadapan krisis sumber air jika projek sokongan tidak dilaksanakan. Justeru, kerajaan negeri berharap peruntukan tersebut dapat diluluskan,” ujarnya. – UTUSAN










