PETALING JAYA: Seramai 1,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum disasarkan bertanjak sempena penganjuran Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos ini.
Penganjur program, Farel Mikhail berkata, kempen tersebut diadakan bagi memelihara pemakaian tanjak dalam kalangan generasi muda.
Selain itu katanya, program yang dinamakan sebagai Precious of Malaysia itu mahu mengembang serta melestarikan tanjak sebagai warisan budaya Melayu yang perlu dibanggakan.
“Walaupun aksesori itu kebiasaannya dipakai dalam adat istiadat diraja dan dianggap sebagai klasik namun dengan suntikan moden, warisan Melayu itu terus hidup dan menjadi perhatian generasi baharu pada hari ini.
“Apabila pakai tanjak, ini sekali gus mendorong mereka mengambil tahu asal usul atau sejarah di sebalik pemakaian tanjak itu dan tidak salah untuk anak-anak muda ini memadankan tanjak dengan pakaian seharian mereka seperti baju kasual atau berseluar jeans,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Farel dalam masa yang sama berkata, program anjuran FM Group itu turut diadakan bagi memeriahkan bulan kemerdekaan selain kesinambungan penganjuran kempen memakai tanjak.
“Jika dilihat sebelum ini, ada saja pihak lain yang membawa kempen memakai tanjak. Misalnya kempen memakai tanjak yang digerakkan oleh sekumpulan individu yang mewarnai Hari Malaysia pada 16 September beberapa tahun lepas.
“Kempen yang dinamakan ‘Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak’ itu sebelum ini pernah tular dalam media sosial. Jadi, penganjuran Hari Tanjak Malaysia yang saya bawakan ini pula akan memeriahkan lagi suasana bulan kemerdekaan,” jelasnya. – UTUSAN











