KUALA LUMPUR: Polis akan membuat permohonan OTI (Order to Investigation) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Petaling Jaya dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah TPR untuk memanggil pelakon berkenaan bagi dirakam percakapan.
“Ya, kita dapatkan dulu perintah untuk menyiasat daripada TPR.
“Kita akan panggil pelakon tersebut setelah dapat kebenaran menyiasat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang wanita mendakwa dibelasah teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, kejadian pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi pelakon itu yang didakwa memarahinya kerana perselisihan faham.
“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.
Shahrulnizam berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.
“Tiba-tiba teman lelaki mangsa dikatakan memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan,” katanya. – UTUSAN











