Malaysia jadi rakan negara sebelum anggotai BRICS muktamad

Malaysia jadi rakan negara sebelum anggotai BRICS muktamad

ANWAR Ibrahim semasa waktu pertanyaan-pertanyaan perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menjadi rakan negara dalam kadar segera memandangkan keputusan permohonan menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan mengambil sedikit masa. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, dari segi perbincangan melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Luar, terdapat keperluan Malaysia berada di dalam kerangka BRICS. 

“Memang benar ada kemungkinan permohonan Malaysia mengambil sedikit masa. Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia mempunyai hubungan sangat baik dengan BRICS, ada kemungkinan Malaysia menjadi rakan negara. 

“Atau disebut sebagai rakan negara BRICS atau rakan negara baharu sebelum penyertaan kita dimuktamadkan,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) jika terdapat langkah lain diambil Malaysia untuk memanfaatkan rangkaian atau jaringan tanpa kemasukan penuh Malaysia ke dalam BRICS akibat tempoh masa keputusan yang dijangka lama. 

Chuan How bertanya jika akan ada moratorium bagi keanggotaan BRICS kerana banyak negara yang kini memohon untuk menyertai kumpulan ekonomi itu. 

Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Terdahulu, ketika wawancara bersama bersama syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China iaitu Guancha, Anwar berkata, Malaysia memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS dan kini menunggu maklum balas.

BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Blok itu ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Pun begitu, di sebalik manfaat dan peluang yang dibingkaikan kerajaan selepas Malaysia memohon menyertai BRICS, wujud pandangan berbeza berhubung implikasi jika Malaysia secara rasmi menganggotainya.

Dalam wawancara Mingguan Malaysia pada 30 Jun lalu, ahli akademik dan penganalisis ekonomi bimbang jika Amerika Syarikat (AS) akan bertindak balas sehingga menarik keluar pelaburan dari Malaysia, hanya disebabkan AS seteru kepada Rusia dan China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×