IPOH: Kerajaan melakukan ‘post mortem’ punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap khususnya dakwaan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu sebagai penyebab utama.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, untuk mengatakan kekalahan tersebut berkait dengan satu dasar semata-mata atau beberapa dasar, perkara itu akan diteliti secara terperinci.
“Tarikh mengundi di Sungai Bakap kurang sebulan daripada pengumuman penyasaran subsidi diesel.
“Jadi banyak proses yang masih berjalan termasuklah mereka yang memohon Budi Madani dan mereka yang menunggu fleet card di bawah Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pelancaran Perkhidmatan Pintar Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini pada Isnin.
Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kementeriannya sedia menambah baik dan melakukan perubahan terhadap sistem penyampaian maklumat agar segala dasar dan program baharu diperkenalkan kerajaan dapat disampaikan dan difahami rakyat.
Katanya, meskipun ketika ini penyampaian berita dan maklumat dilakukan secara berterusan melalui media rasmi dan platform media sosial, namun tidak dapat dipastikan sama ada benar-benar difahami atau tidak oleh rakyat.
“Ini termasuklah mengurus dengan cara lebih baik hujah balas daripada pembangkang. Semua ini telah disampaikan Perdana Menteri kepada saya,” katanya.
Menurutnya, beliau mengambil pandangan daripada semua anggota parti dan jentera di lapangan untuk menambah baik dan sekiranya ada keperluan untuk melakukan perubahan cara kita menyampaikan maklumat.
“Dalam keadaan sekarang, kandungan yang pelbagai dan disiarkan kadang kala ceritanya separuh jalan yang diambil di luar konteks,” katanya.
Pada PRK Sungai Bakap calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi. – UTUSAN










