Bergolok-bergadai bayar deposit Pasar Kedai Payang

Bergolok-bergadai bayar deposit Pasar Kedai Payang

PROJEK pembangunan semula Pasar Kedai Payang yang berusia lebih 50 tahun dilaksanakan di tapak asal membabitkan Kos keseluruhan RM70.03 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebahagian peniaga di Pasar Kedai Payang di sini didakwa terpaksa bergolok-bergadai untuk membayar deposit bagi mendapatkan kunci lot kedai di bangunan baharu pasar tersebut.

Mereka terpaksa bertindak sedemikian untuk tidak melepaskan peluang berniaga di bangunan baharu yang dijadual dibuka pada 1 Ogos nanti.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, lebih 400 peniaga perlu membayar deposit antara RM3,530 hingga RM8,330 untuk memasuki lot kedai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, jumlah bayaran deposit tersebut bergantung ke pada jenis perniagaan dan ukuran kedai.

“Sebahagian peniaga di pasar tersebut tidak mampu untuk membayar deposit tersebut kerana pendapatan mereka tidak menentu.

“Mereka terpaksa bergolok-bergadai untuk membayar deposit supaya dapat memasuki kedai bermula 1 Ogos ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selain itu, Zakaria memberitahu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga tidak memberi penjelasan mengenai rayuan peniaga terbabit untuk mengurangkan jumlah bayaran sewa bulanan lot kedai.

Menurutnya, kadar sewa meningkat mendadak antara 300 peratus hingga 485 peratus berbanding harga lama.

“Harga sewa lot kedai di Pasar Kedai Payang lama (bagi 3.048 x 3.048 meter persegi) ialah RM110 sebulan manakala di bangunan baharu RM400 sebulan.

“Sementara itu, kedai berukuran 6.096 meter x 3.048 meter persegi pula daripada RM360 dinaikkan RM1,600 sebulan,” katanya.

Beliau menambah, peniaga tersebut mengharapkan MBKT dapat mengurangkan bayaran sewa bulanan dan deposit untuk meringankan beban mereka.

Projek pembangunan semula Pasar Kedai Payang yang berusia lebih 50 tahun dilaksanakan di tapak asal membabitkan kos keseluruhan RM70.03 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini