Petani rugi tembikai diserang kutu trip

Petani rugi tembikai diserang kutu trip

NIK Muhamad Saifullah Nik Ismail (kanan) dan Wan Basiron Wan Bakar menunjukkan pokok tembikai yang rosak selepas diserang kutu trip di Rhu Tapai, Setiu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Petani tanaman tembikai di luar musim berdepan masalah serangan kutu trip atau nama saintifiknya, thrips palmi yang mengakibatkan pokok tidak berbuah dan mati.

Nik Muhamad Saifullah Nik Ismail, 31, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian selepas tanamannya terjejas akibat serangan serangga halus tersebut.

Menurutnya, ketika ini dianggarkan 30 peratus daripada pokok tembikai yang ditanam di kawasan seluas tujuh hektar telah rosak dan mati.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak musim pertama tanaman tembikai pada Januari hingga April lalu, saya mula mengesan terdapat serangan kutu trip tetapi tidak teruk, tetapi tanaman musim kedua atau juga kita panggil di luar musim didapati serangan serangga itu semakin parah.

“Serangan kutu ini perlu dikawal di peringkat tanaman musim pertama untuk mengelak serangan lebih serius pada tanaman musim kedua kerana kemungkinan telur atau larvanya telah ada di kawasan kebun,” katanya ketika ditemui di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rhu Tapai di sini, semalam.

Nik Muhamad Saifullah memberitahu, dia terpaksa membuang pokok tembikai yang telah rosak kerana dikhuatiri boleh merebak secara meluas ke kawasan lain.

“Sekiranya saya tidak mengambil langkah awal untuk menangani serangan kutu ini, saya akan berdepan kerugian tinggi dan semua modal dikeluarkan akan hangus begitu sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, dia memperuntukkan modal sebanyak RM10,000 hingga RM20,000 bagi satu hektar tanaman tembikai.

Sementara itu, Wan Basiron Wan Bakar, 52, berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli racun serangga sebagai langkah pencegahan.

“Pekebun perlu menambah modal untuk membeli racun bagi memusnahkan serangga tersebut, selain modal benih, baja dan sebagainya.

“Penggunaan racun itu perlu untuk menjamin pokok yang masih belum dijangkiti serangga dapat diselamatkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini