MERSING: Seorang suami tabah menjaga isterinya yang sudah tujuh tahun terbaring selepas diserang angin ahmar selain kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat kencing manis.
Razali Joli, 61, dari Kampung Sri Lalang di sini berkata, isterinya, Noraini Yusof, 63, tidak mampu melakukan apa-apa aktiviti bahkan bergantung kepada lampin pakai buang setiap hari.
Katanya, setiap hari rutinnya adalah bangun seawal pukul 5 pagi untuk menyiapkan keperluan isteri termasuk memasak dan membersihkan rumah.
“Saya bekerja kontrak sambilan sahaja, majikan pun tahu saya jaga isteri sakit di rumah. Jadi, mereka sangat bertimbang rasa dengan situasi saya.
“Jika ada kerja yang betul-betul memerlukan, baharulah saya akan pergi. Tambahan pula doktor baharu sahaja sahkan saya ada sakit jantung pada April lalu. Majikan pun tahu, jadi mereka banyak menyuruh saya berehat sahaja.
“Isteri dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. Rumah yang kami duduk ini milik orang tua, namun kami perlu bayar sewa tapak RM100 sebulan kerana tanah ini milik orang lain, “ katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, anak-anaknya yang menetap di Johor Bahru pernah menyatakan hasrat untuk menjaga ibu mereka, namun dia tidak mengizinkan.
Katanya, dia rela menjaga isterinya sehingga hujung nyawa daripada berjauhan dengan teman hidupnya itu.
“Saya tidak boleh hidup seorang, sunyi. Biarlah isteri terlantar begitu sekurang-kurangnya saya nampak dan boleh urus dia di depan mata.
“Bila keluar kerja saya akan tinggalkan isteri sekejap tapi sudah menyiapkan dia terlebih dahulu. Tambahan pula bila saya pulang dari kerja, ada juga yang akan sahut salam saya,” katanya lagi.
Terdahulu pasangan suami itu menerima ziarah daripada Pertubuhan Amal Bakti Kebajikan Masyarakat Mersing yang menyampaikan sumbangan lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu membantu Razali boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Noraini Yusof bernombor 0111-3411-0000-5454. – UTUSAN











