KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan bercadang untuk mewujudkan pejabat penguatkuasaan baharu di Gua Musang pada tahun ini dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sehubungan itu, satu kertas kerja akan dihantar kepada Ibu Pejabat JKDM dalam masa terdekat.
Menurutnya, keperluan pejabat baharu itu dalam memastikan JKDM Kelantan dapat bertindak terutamanya melibatkan kes penyeludupan dengan pantas di daerah itu tanpa mengambil masa yang lama.
“Kita dapati kegiatan menyeludup kerap berlaku di kawasan sekitar Gua Musang sejak kebelakangan ini.
“Oleh itu, saya bercadang untuk mewujudkan pejabat baharu di daerah itu pada tahun ini. Kertas cadangan mengenai perkara itu akan dihantar pada minggu ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Kelantan, di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, JKDM Kelantan setakat ini hanya mempunyai satu pejabat penguatkuasaan di Kota Bharu.
Katanya, seramai 14 daripada 100 pegawai JKDM sedia ada akan ditempatkan di Gua Musang sekiranya cadangan pembinaan pejabat baharu itu diluluskan.
“Sukar untuk kita menangani kes penyeludupan terutamanya apabila ia berlaku di Gua Musang dan Tanah Tinggi Lojing.
“Perjalanan dari Kota Baru ke Gua Musang akan mengambil masa kira-kira tiga jam. Apabila anggota tiba, suspek sudah melarikan diri,” ujarnya.
Wan Jamal Abdul Salam, beliau berharap kes penyeludupan dapat dikurangkan selepas pembinaan pejabat baharu di daerah itu.-UTUSAN











