PETALING JAYA: Malang nasib seorang lelaki apabila barangan kemas dianggarkan RM1.2 juta milik syarikatnya disamun empat lelaki dalam kejadian di sebuah tempat meletak kereta di premis perniagaan di sini, Sabtu lalu.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7.40 malam apabila pengadu bersama bapa dan ibu saudara didatangi lelaki bersenjatakan objek berbentuk pistol dan kapak.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, suspek kemudian menyamun beg galas pengadu yang mengandungi barang kemas sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.
Katanya, siasatan mendapati barang kemas itu milik syarikat pengadu dan mangsa baru pulang dari menjalankan urusan perniagaan di semenanjung utara.
“Siasatan lanjut mendapati terdapat empat suspek yang bertutup muka terlibat dalam kejadian ini.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menunggu dalam kereta sehingga pengadu tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Shahrulnizam, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun trauma akibat kejadian tersebut.
Jelas beliau, tiada sebarang tangkapan buat masa ini dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek terlibat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.- UTUSAN










