BERUAS: Seramai 50 anggota Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja, Taiping menyertai pencarian dua pencari siput belitung yang hilang di kawasan paya bakau di Pantai Remis sejak 20 hari lalu.
Difahamkan anggota tentera terlibat melakukan pencarian dalam radius 500 meter dari kawasan motosikal mangsa ditemukan.
Mereka menghentikan pencarian pukul 2 petang semalam dan disambung semula hari ini.
Secara keseluruhan pencarian semalam melibatkan 100 orang termasuk 28 sukarelawan dari luar Perak yang mendaftar dan penduduk kampung.
Dua lelaki yang hilang itu, Yahya Harun, 55, dan Azman Mat Jaab, 61, gagal dikesan sejak 18 Jun lalu selepas memasuki hutan paya bakau melalui Sungai Tuntung dan hanya motosikal mereka ditemui di lokasi tersebut.
Kes itu dianggap misteri kerana seorang daripada dua lelaki itu berpengalaman mencari siput belitung berpuluh tahun dan mahir dengan persekitaran hutan berhampiran laut itu.
Agensi penguatkuasaan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini, gagal menemui petunjuk keberadaan mereka.
Sementara itu, anak saudara kepada Azman, Abdul Halim Hassan, 55, yakin bapa saudaranya dan Yahya masih berada di kawasan mereka dilaporkan hilang.
Menurutnya, usaha pencarian dilakukan sejak hari pertama dan tetap akan teruskan.
“Kami masih meneruskan pencarian setiap hari terutama anak kembar Yahya yang kadangkala membuat pencarian dua kali sehari iaitu pada waktu siang dan malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Abdul Halim, pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, membaca Yassin dan sebagainya namun mangsa belum ditemukan.
Menceritakan saat Azman hilang, Abdul Halim berkata, bapa saudaranya itu berkeras mahu mencari siput belitung pada hari pertama Aidiladha namun dihalang oleh abangnya.
“Namun pada hari raya kedua, bapa saudara saya bersama rakannya itu pergi juga mencari siput belitung.
“Selepas itu mereka tidak pulang lalu kami mencarinya dan menjumpai motosikal diletakkan di tepi hutan paya bakau kira -kira 950 meter dari pintu jalan masuk ke hutan,” katanya. – UTUSAN










