SEREMBAN: Projek rancangan tebatan banjir (RTB) merupakan langkah penyelesaian jangka masa panjang yang perlu dilaksanakan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam isu banjir sering dihadapi beberapa kawasan di daerah ini.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook sehubungan itu berkata, JPS perlu melihat punca sebenar mengapa kawasan terlibat sering dilanda banjir dan projek tebatan banjir dilihat sebagai langkah bagi meminimumkan kesan bencana itu kepada penduduk.
“Dua minggu lalu beberapa ‘kawasan hitam’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan telah dilanda banjir iaitu di Kampung Ismail, Kampung Blok C, Kampung Sungai Landak dan Taman Lee Siew Joo.
“Lebih 100 buah rumah telah terjejas dan dinaiki air. Kita ketahui kawasan ini sering dilanda banjir kilat dalam tempoh beberapa tahun ini.
“JPS justeru perlu melihat punca sebenar mengapa kawasan ini sering dilanda banjir dan mengharapkan JPS bersama kerajaan Negeri boleh mengambil langkah penyelesaian jangka panjang untuk adakan projek tebatan banjir di Seremban supaya penduduk kawasan ini tidak lagi terjejas dengan banjir,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan Mangsa Banjir DUN Ampangan di Balai Raya Kampung Blok C, di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO yang juga merangkap ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, memang di ketahui di sepanjang jajaran Sungai Linggi banyak kawasan terkesan dengan kejadian banjir dengan kejadian paling teruk adalah pada tahun 2021.
“Selepas banjir besar pada tahun 2021 antara langkah jangka pendek yang diambil adalah pengorekan pasir untuk mendalamkan kawasan sungai tetapi kita tahu mendapan ini berlaku dari semasa ke semasa.
“Jadi perlu ada projek tebatan banjir sebagai penyelesaian jangka panjang. Bagaimanapun kita perlu tahu kekangan JPS sebab projek sebegini bukan sahaja diperlukan di Negeri Sembilan sahaja bahkan seluruh negara seperti di Johor serta Kelantan yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan cukup besar.
“Untuk adakan projek tebatan banjir itu ia memerlukan pembinaan konkrit pada tebing di sepanjang jajaran Sungai Linggi dan di sepanjang jajaran ini terdapat juga kawasan lain turut terkesan akibat bah seperti di DUN Rahang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan negeri akan terus mendapatkan suntikan bantuan daripada kerajaan Persekutuan supaya projek tebatan banjir ini dapat dilaksanakan untuk jangka masa panjang,” katanya.-UTUSAN.











