Port lumba haram Klang digempur, 150 ditahan - Utusan Malaysia

Port lumba haram Klang digempur, 150 ditahan

Lumba haram
SEBAHAGIAN penunggang ditahan polis bersama motosikal masing-masing selepas disyaki terlibat dalam perlumbaan haram dekat Persiaran Raja Muda Musa, di Klang, Selangor, pada awal pagi tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Persiaran Raja Muda Musa di sini, yang menjadi ‘port’ lumba haram motosikal pada malam minggu digempur polis habis-habisan dengan penahanan seramai 150 individu, awal pagi tadi.

Kesemua mereka termasuk beberapa wanita berusia 15 hingga 30 tahun itu diberkas selepas 16 jalan termasuk laluan ‘tikus’ di sekitar Kompleks Sukan Pandamaran berkenaan dikepung, kira-kira pukul 3 pagi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan itu dipenuhi kumpulan mat rempit yang melakukan aksi berbahaya dan berlumba di jalan sejauh tiga kilometer (km) tersebut bermula pukul 12 tengah malam.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila diserbu sepasukan 69 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Sebahagian daripada penunggang motosikal yang panik cuba melarikan diri namun gagal dan ditahan bagi pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan menerusi Operasi Bersepadu Samseng Jalanan itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan pihaknya selama tiga minggu mengenai aktiviti lumba haram di jalan utama tersebut.

“Sebanyak 125 motosikal diperiksa pihaknya sepanjang operasi selama hampir lima jam berkenaan. Seramai 150 individu ditahan termasuk enam lelaki berusia lingkungan 20-an yang disyaki berlumba haram manakala tiga lagi berada di bawah pengaruh alkohol.

“Lebih 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan serta mengubahsuai motosikal,” katanya hari ini.

Tambah Hoong Fong, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan bagi tindakan lanjut.

“Kes melibatkan lumba haram dan alkohol itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak mereka bagi mengelak terjebak dalam kegiatan seumpama itu sekali gus dikenakan tindakan undang-undang

“Tindakan bukan saja dikenakan terhadap individu yang menunggang malah kepada pemilik motosikal itu sendiri. Motosikal yang kita tahan rata-ratanya bukan dimiliki penunggang itu namun atas nama orang lain iaitu ibu bapa serta penjaga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×