Olimpik 2028 jangan buat hal lagi!

Olimpik 2028 jangan buat hal lagi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARULAH nampak garang!

Itu reaksi banyak pihak apabila melihat pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang direka semula selepas menerima kritikan hebat.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengembalikan semula corak belang harimau dalam rekaan baharu tersebut seperti kelaziman pada pakaian rasmi atlet negara sebelum-sebelum ini.

Memanglah rekaan baharu ini tidak sempurna, tetap dikritik.

Apa yang boleh kita harapkan mahu diperbetulkan dalam masa singkat pada saat-saat akhir?

Namun, sekurang-kurangnya rekaan baharu ini le­bih baik.

Yang lebih penting, warna Jalur Gemilang pada pakaian itu betul. Ada kuning, biru, merah dan putih, bukan keseluruhannya berwarna emas seperti sebe­lumnya.

Rekaan sebelum ini dikatakan kurang menarik, tidak berkualiti, seolah-olah dibuat tergesa-gesa tanpa merujuk pandangan pihak-pihak lain terlebih dahulu. Senang cakap, tiada cita rasa langsung.

Sampai orang luar negara pun kecam, nampak macam baju sukan budak sekolah.

Ya, ada betulnya ungkapan tiada makna reka pakaian cantik-cantik tetapi tidak bawa pulang pingat emas.

Tapi, ini Sukan Olimpik, temasya sukan teragung dan paling berprestij di dunia selain kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA.

Bukan senang nak masuk temasya sukan ini, hanya atlet elit dan benar-benar layak dipilih.

Pakaian rasmi kontinjen dan prestasi atlet adalah dua perkara berbeza.

Menang atau kalah, adat pertandingan.

Kalau dapat pingat emas, alhamdulillah. Kalau dapat perak atau gangsa, pun syukur juga. Sekurang-kurangnya atlet kita sudah buat yang terbaik.

Namun, harus ingat. Pakaian kontinjen merupakan identiti negara. Ia dilihat oleh seluruh dunia.

Atlet yang menyarungnya membawa bersama imej negara. Pasti si pemakai rasa bangga dan cetus semangat patriotik yang tinggi dalam diri mereka.

Tapi, kalau rekaan pun ala kadar, memakainya pun rasa tidak bersemangat. Malu pun mungkin ada. Sedikit sebanyak boleh mengganggu motivasi atlet.

Diharapkan isu ini menjadi pengajaran kepada semua pihak. Janganlah diulangi lagi terutama pada Sukan Olimpik 2028.

Tidak perlu kita terikut-ikut negara-negara lain yang memperagakan pakaian sukan rekaan jenama-jenama terkemuka. Contohnya, Amerika Syarikat (Ralph Lauren); Kanada (Lululemon); Perancis (Le Coq Sportif); Korea Selatan (The North Face).

Jenama Yonex yang kita gunakan pun sudah cukup hebat.

Apa yang utama, rekaannya biarlah mewakili jati diri negara. Coraknya mesti yang terkini, ikut selera orang muda. Bukan ikut pilihan orang pencen.

Kepada 26 atlet negara, pamerkanlah semangat juang yang tinggi di Perancis nanti.

Bawalah pulang pingat emas pertama Malaysia. – UTUSAN

Zabry Mohamad Madzlan ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.