Pengendali makanan disyaki pembawa demam kepialu di sekolah

Pengendali makanan disyaki pembawa demam kepialu di sekolah

DR. ZAINI HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan tiga orang pengendali makanan disyaki sebagai pembawa penyakit demam kepialu sekali gus menjadi punca kepada penularan wabak itu disebuah sekolah menengah di sini sejak minggu lalu.

Pengarahnya Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang dilakukan oleh JKNK ke atas pengendali makan di sekolah berkenaan.

“Kesemua pengendali makanan ini telah diberi rawatan dan tidak dibenarkan mengendalikan makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pada masa sama, kami (JKNK) akan terus memantau situasi wabak ini dan dengan menjalankan langkah-langkah kawalan bagi mencegah wabak dari berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, siasatan lanjut mendapati, wabak berkenaan telah menular di sekolah berkenaan bermula 20 Jun.

Katanya, sehingga semalam
sebanyak enam kes telah di kenalpasti melibatkan pelajar tingkatan 1 hingga 5 melibatkan dengan gejala demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

“Kesemua mereka telah dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Alhamdulillah, dua kes telah sembuh dan sudah dibenarkan keluar dari wad.

“Tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan setakat ini. Bagaimanapun, sebanyak 35 kes yang disyaki demam Tifoid juga telah dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut,” ujarnya.

Dr. Zaini berkata, saringan menyeluruh keatas semua warga sekolah akan dijalankan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dalam masa terdekat.

Katanya, semua warga sekolah dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan sentiasa mencuci tangan.

“Sekiranya bergejala seperti demam berpanjangan, sakit kepala, lemah badan, dan cirit-birit atau sembelit, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” ujarnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan suasana di sebuah sekolah menengah di sini bertukar cemas selepas guru dan pelajarnya diserang penyakit demam kepialu sejak minggu lalu. Difahamkan demam itu mula dikesan berlaku dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×