Filipina berterima kasih peranan Malaysia dalam proses damai di Mindanao - Utusan Malaysia

Filipina berterima kasih peranan Malaysia dalam proses damai di Mindanao

MOHAMAD Hasan hadir menyampaikan replica cek bantuan geran selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau Kali Ke-45 di Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Filipina berterima kasih atas peranan yang dimainkan Malaysia yang membantu dalam menyatukan wilayah selatan negara itu terutamanya di kepulauan Mindanao.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. ketika kunjungan hormatnya ke negara itu baru-baru ini.

“Dua, tiga kali di dalam percakapan beliau (Presiden Marcos) dengan saya, beliau berterima kasih kepada Malaysia kerana keamanan yang sudah dikecapi oleh penduduk di selatan Filipina.

“..terutamanya di Mindanao tersebut adalah hasil kerjasama dan juga bantuan Malaysia, yang mengurus gencatan senjata yang mengurus semua pihak supaya berdamai.

“Mereka (rakyat Kepulauan Mindanao) yang dahulunya mahu autonomi negeri sendiri akan mengadakan pilihan raya negeri mereka pada bulan Mei tahun depan (2025), mereka akan ada kerajaan autonomi mereka seperti apa hasrat mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 Pertubuhan Peladang Kawasan Rembau, di sini, hari ini.

Jelas Mohamad lagi, apa yang dikecapi oleh rakyat di Kepulauan Mindanao itu merupakan satu kejayaan dan nikmat kepada penduduk di sana terutamanya yang beragama Islam.

“Rakyat Filipina (seramai) 110 juta, 15 juta rakyat Islam kebanyakan yang beragama Islam ini di selatan Filipina ataupun di Pulau Mindanao, jadi mereka akan ada kerajaan autonomi mereka sendiri.

“Ini merupakan satu kejayaan, nikmat kepada orang di selatan terutamanya penduduk beragama Islam, mereka sekarang sudah hidup aman damai.

“Kerajaan Filipina berasa sukacita dan berterima kasih kepada Malaysia kerana kita lah yang telah bersusah payah berusaha untuk menyatukan dan juga mengadakan perundingan sehingga tercapai apa yang mereka dapat hari ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×