ALOR SETAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat lebih 100 kilogram (kg), minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Dzulkifli Che Othman, 47, melainkan dia hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis atau ganja seberat 100.2kg kira-kira pukul 4.30 petang, 25 Jun lalu di sebuah inap desa di Taman Aman, di sini.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Akhbar baru-baru ini melaporkan kejayaan polis merampas lebih 100kg ganja di sebuah inap desa yang disewa lelaki itu di Taman Aman, di sini.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, lokasi tersebut dipercayai dijadikan lokasi transit penyimpanan dadah oleh suspek yang tidak bekerja.
Kesemua ketulan ganja tersebut dimampatkan dalam balutan aluminium (Aluminium foil) keemasan dan dibalut plastik lutsinar yang setiap satunya seberat kira-kira 1kg.
Keseluruhan dadah itu bernilai kira-kira RM250,000 dan dianggarkan boleh digunakan kira-kira 20,000 penagih jika terlepas ke pasaran. -UTUSAN









