PETALING JAYA: Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) di Lembah Klang, pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar serta pengurusan projek dan program bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) antara ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pagi ini.
Menerusi laporan itu, projek RoL tidak akan boleh disiapkan tahun ini kerana setakat Julai 2023, sebanyak 12 masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
Lampiran itu antara lain turut menyebut semua objektif RoL belum dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta, malah kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2km Sungai Gombak.
Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, laporan itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.
“Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.
“Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan. Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1,” menurut LKAN
Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, LKAN memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.
“Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” menurut laporan itu.
Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.
Beliau berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja.
“Kelemahan ini menyebabkan program atau aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya menerusi kenyataan.- UTUSAN










