764 usahawan tani berjaya tingkat pendapatan cecah RM5,000 sebulan - Utusan Malaysia

764 usahawan tani berjaya tingkat pendapatan cecah RM5,000 sebulan

LOKMAN Hakim Ali (tengah) bersama antara penerima Geran Agropreneur Muda (GAM) pada Majlis Penutupan Program Pemadanan Belia Tani Bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan Pertanian 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 41 peratus atau 764 orang usahawan tani berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan melalui bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, bantuan itu sekali gus memperkasakan golongan belia dalam sektor agromakanan.

“Bagi penerima GAM bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga suku pertama tahun ini, 41 peratus (764 orang) usahawan berjaya meningkatkan julat pendapatan RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 71 usahawan telah berjaya mengembangkan perniagaan daripada pasaran setempat ke pasaran nasional, iaitu pemasaran produk ke sekurang-kurangnya tiga buah negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Pemadanan Belia Tani bersama Industri Subsektor Agromakanan Jabatan Pertanian di sini hari ini.

Lokman Hakim berkata, dari tahun 2016 hingga Jun tahun ini, kementerian itu telah menyalurkan geran berjumlah RM174. 16 juta kepada seramai 9,529 penerima di bawah bantuan GAM di seluruh negara. 

“Bantuan di bawah geran berkenaan merangkumi barangan seperti input dan peralatan pertanian serta infrastruktur ladang dengan nilai RM20,000 setiap penerima. Ia meliputi pengeluaran tanaman, perikanan dan ternakan,” katanya. 

ADS:D

Jelas beliau, melalui geran yang diberikan petani atau peternak boleh meningkatkan hasil produktiviti yang secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.

“Apabila pendapatan meningkat, ia melayakkan usahawan membuat pinjaman melalui Agrobank dengan kadar faedah yang lebih rendah, membolehkan mereka terus mengembangkan perniagaan melalui pelbagai bentuk kemudahan disediakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudah ramai golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian malah ada dalam kalangan mereka sudah bergelar jutawan. 

Tambah  beliau, golongan belia sudah mula sedar akan peluang yang ada dalam bidang berkenaan namun mengharapkan teknologi baharu diperkenalkan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN