Curi emas, Kelantan tunggu laporan pihak berkuasa

Curi emas, Kelantan tunggu laporan pihak berkuasa

MOHAMED Fadzli Hassan (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima Anugerah Saudagar Terbaik KGT 2023 sempena Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham Kelantan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa berhubung isu kecurian emas berhampiran Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang sebagai mana didedahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri akan memantau dari masa ke semasa segala perkembangan dan laporan daripada pihak berkuasa berkait perkara tersebut.

“Setakat ini, kita sedang menunggu hasil siasatan daripada pihak berkuasa kerana segala tindakan berkaitan isu ini dilakukan oleh pihak berkuasa bukan kita (kerajaan negeri).

“Sekiranya ia dibuktikan terdapat kes kecurian, kita meminta satu tindakan tegas diambil kepada pihak yang terlibat,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham Kelantan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, segala aktiviti berkaitan perlombongan perlu mengikut prosedur-prosedur tertentu yang telah ditetapkan.

“Sesiapa sahaja yang ingin melombong silakan tapi jangan cuba untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

“Setiap pelanggaran peraturan yang tidak diluluskan oleh kerajaan negeri adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas perlu diambil,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan nege­ri diingatkan tidak ‘tidur’ berkaitan isu kecurian emas berhampiran Sungai Relai, Taman Negara Kelantan di Gua Musang seperti didedahkan Perhilitan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, jika langkah segera tidak diambil berkemungkinan besar lebih banyak hasil bumi Kelantan akan dirompak.

Menurut beliau, tindakan tersebut turut dibimbangi boleh merosakan ekosistem alam sekitar sekali gus memberikan kesan jangka panjang kepada negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×