KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aliff Aziz mengakui dia masih berhubung dengan aktres, Ruhainies kerana perlu melalui prosiding mahkamah berkaitan kes khalwat mereka.
Berikutan itu, Aliff berkata, dia tiada masalah berkawan dengan Ruhainies kerana antara mereka tidak wujud pergaduhan.
Katanya, ia juga termasuk tindakan mereka saling berbalas emoji dan memuat naik semula sebarang perkongsian hantaran di Instagram.
“Saya dan Ruhainies perlu melalui prosiding mahkamah berkaitan kes ini, jadi kadangkala bila kita ulang siar hantaran Instagram antara satu sama lain, orang tafsir ‘Oh Aliff, Ruhainies saling berbalas’.
“Bagi saya, tiada apa-apa yang boleh halang untuk kami terus berhubung. Kami tak bergaduh. Mungkin orang ingat, bila kami ada kes, kami perlu bermasam muka.
“Buat masa ini kami tiada isu dan tak perlu bermasam muka dengan Ruhainies. Apa sahaja hantaran itu berkaitan dengan kerja sebagainya adalah harmless,” katanya.
Selain itu, Aliff bersyukur kerana prosiding melibatkan kes khalwat mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini semalam berjalan lancar.
Malah, dia juga akur akan sentiasa memberi kerjasama baik bagi progres kes tersebut dengan mahkamah.
“Alhamdulillah apa yang harus berjalan semua dipermudah. Seperti apa yang dibicarakan di mahkamah, prosiding ini akan disambung ke tarikh yang sudah ditetapkan.
“Secara peribadi, saya lega semua urusan berjalan dengan lancar dan memohon doa semuanya berjalan dengan baik. Apa sahaja yang melibatkan kes selepas ini, kami beri komitmen sepenuhnya kepada pihak mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies dan Aliff yang terlibat dengan kes khalwat pada 9 Mac lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Mereka yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz.
Mahkamah menetapkan 17 Oktober ini sebagai tarikh seterusnya untuk prosiding dan bon jaminan RM1,500 dilanjutkan sehingga tarikh sebutan kes.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir ke mahkamah namun tiada sebarang pengakuan sebelum mahkamah menangguhkan kes itu dan mereka dilepaskan dengan wang jaminan RM1,500 dan seorang penjamin.
Pada 9 Mac lalu, nama Aliff terpalit dengan kontroversi apabila dia dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon Ruhainies.
Susulan itu, kedua-dua pelakon itu menjadi sasaran kemarahan netizen sebelum Aliff dan Ruhainies tampil membuat permohonan maaf namun menafikan dakwaan mereka berkhalwat.
Rumah tangga Aliff dan bekas isterinya yang juga pelakon Bella Astillah berakhir dengan perceraian pada 13 Jun lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. – UTUSAN










