LUMUT: Keluarga kepada salah seorang mangsa yang hilang ketika mencari siput belitung di Pantai Remis dekat sini hampir dua minggu lalu, tidak berputus asa mencarinya hingga dijumpai semula.
Menurut Rasiah Yahya, 29, mereka lima beradik akan terus berusaha mencari bapa, Yahya Harun, 55, yang dilaporkan hilang ketika mencari siput belitung bersama rakannya, Azman Mat Jaab, 61, yang juga hilang, di kawasan Sungai Tuntung, Pantai Remis, dekat sini.
Beliau mengakui lokasi mangsa hilang iaitu hutan paya bakau seluas hampir 1,200 hektar itu sangat luas, tetapi ia bukan alasan untuk tidak berusaha mengesannya dengan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara.
“Selagi tidak menemui abah, kami tidak akan berhenti mencarinya kerana yakin dia dan rakannya itu masih berada di dalam kawasan hutan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Sebaik laporan kehilangan kedua-duanya dilakukan oleh Rasiah di Balai Polis Pantai Remis pada 19 Jun lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh pasukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.
Operasi SAR itu turut melibatkan unit anjing pengesan (K9) JBPM manakala kawasan pencarian diperluaskan bukan sahaja sepanjang Sungai Tuntung tetapi juga meliputi Sungai Besar dan Sungai Merah yang berdekatan.
Kawasan pencarian turut meliputi pesisiran pantai berhampiran.
Malah, lokasi mangsa dilaporkan hilang itu turut menjadi tumpuan individu yang berminat dengan aktiviti paranormal, kemudian merakamkan kehadiran mereka dan dimuat naik dalam media sosial.
Menurut Rasiah, pihaknya tidak boleh menghalang atau mempertikai tindakan golongan tersebut kerana kawasan itu adalah tempat awam yang boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja.
Baginya, apa sahaja tindakan dilakukan oleh mana-mana pihak yang bertujuan membantu usaha pencarian bapanya, adalah sangat dialu-alukan.
Beliau memaklumkan sebelum ini kebiasaan bapanya pergi mencari siput belitung seorang diri kerana sudah mahir dan biasa dengan keadaan hutan tersebut yang dimasukinya sejak usia remaja.
Terangnya lagi, inilah pertama kali beliau dimaklumkan bapanya membawa kawan untuk sama-sama mencari siput belitung, dan terus hilang secara tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, sebelum ini memaklumkan siasatan pihak polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah, sebaliknya mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang. – UTUSAN











