Projek pembekalan air ke Pulau Pinang bermula tahun ini

Projek pembekalan air ke Pulau Pinang bermula tahun ini

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek pengurusan air di Sungai Perak yang bakal digunakan untuk pembekalan air ke Pulau Pinang dan menampung keperluan industri akan dimulakan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepat selepas beberapa isu khususnya berkaitan pemilikan tanah diselesaikan lebih awal selain kerjasama amat baik Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerajaan negeri Perak.

“Kalau (projek membekalkan) 700 juta liter air sehari, apakah boleh disegerakan, saya sudah umumkan bahawa projek ini memudahkan kerana tanah Kerian itu milik Sime Darby. Jadi, tidak ada isu pengambilan tanah, 1,000 ekar (404.7 hektar) itu milik Sime Darby dan mereka setuju (diambil alih).

“Kerajaan negeri Perak pun setuju disegerakan, sebab itu projek berkenaan boleh dimulakan tahun ini juga iaitu pembesaran dan pemuliharaan Sungai Perak serta penyaluran paip yang dialihkan ke kawasan Kerian dan Seberang Perai khususnya,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang bertanyakan sama ada projek berkenaan dapat disegerakan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Dari Sungai Perak Untuk Bekalan Air di Kawasan Utara Perak dan Pulau Pinang dengan kapasiti 1,500 juta liter sehari (JLH) dan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4 bilion merangkumi komponen pemindahan dan rawatan air.

Katanya, memandangkan keperluan mendesak bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan, kerajaan memberi tumpuan dan menyegerakan pelaksanaan projek ini yang akan turut menyelesaikan masalah air di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak.

Menurut Anwar, langkah penyelesaian terhadap isu permintaan bekalan air tinggi oleh Pulau Pinang juga dapat diputuskan sebaik sahaja Perak bersetuju menjual sumber airnya bagi menampung sebahagian kawasan di negeri jirannya itu.

“Sultan dan kerajaan negeri Perak setuju bekalan air selepas dilihat unjuran bekalan air Sungai Perak itu melebihi (daripada kapastiti keperluannya).

“Maka keutamaannya sudah tentu Larut, Matang, Selama dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian serta Bagai Serai dan Parit Buntar yang menyalurkan 700 juta liter air juga untuk keperluan di Seberang Perai dan sebahagian Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, semua pelaburan baharu atau kebanyakannya di KIGIP mensyaratkan tenaga hijau.

“Fasa pertama membabitkan pembangunan tanah berkeluasan 1,000 ekar (404.7 hektar). Dengan kedudukan strategik iaitu berdekatan hab sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kedah, KIGIP akan melengkapi spillover demand kepesatan industri itu.

“Selepas KIGIP beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara yang mana pelabur asing dan domestik dijangka berminat melabur di KIGIP.

“Malahan, operasi syarikat multinasional di KIGIP juga akan berupaya membina rantaian bekalan yang mampu menyokong perkembangan industri domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×