KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dipenjara 60 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas tertuduh, Suhaimi Muda, 50, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 8 November 2020 dan 17 Mei 2022.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1)(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara lima sehingga tujuh tahun dan sebat tidak lebih tiga sebatan di bawah Seksyen 39C(1)(b) ADB 1952.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan semula iaitu 5 Februari 2024.
Tertuduh turut memiliki dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pada 2019.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffah Nabihah Mohd. Ishak manakala tertuduh diwakili peguam, Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa. – UTUSAN











