SHAH ALAM: Siasatan kes penyebaran gambar didakwa mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang tular di media sosial dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerusi pegawai penyiasat membuat laporan mengenai kes itu kelmarin selepas berlaku penyebaran beberapa gambar didakwa bahan bukti kes kanak-kanak berkenaan.
“Siasatan itu kini akan diambil alih oleh USJT Bukit Aman. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88),” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tiga gambar keadaan Zayn Rayyan, 6, yang ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai dimuat naik di Telegram selepas turut tular kertas siasatan pembunuhan di aplikasi sama sebelum ini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail menegaskan tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang dalam penyebaran gambar tersebut.
Selain Akta Rahsia Rasmi, siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 13 Jun lalu, ibu bapa kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan pengabaian dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh. – UTUSAN










