ALOR SETAR: Sebuah treler membawa dua kontena bermuatan 40,000 liter susu getah atau lateks yang terbabas didapati telah mencemari kawasan sawah susulan kemalangan di Kilometer 41.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Hutan Kampung, di sini Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, treler terbabit sedang membawa susu getah dari Hatyai, Thailand untuk dihantar ke Pelabuhan Pulau Pinang.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, pada peringkat awal, keseluruhan 40,000 liter susu getah itu telah tumpah sepenuhnya daripada kontena berkenaan dan hanya memasuki parit dan longkang berhampiran sepanjang 300 meter.
Bagaimanapun ujar beliau, tumpahan itu semakin merebak sehingga lebih 500 meter sejak semalam dengan sebahagian susu getah itu telah memasuki sawah milik petani di kawasan itu.
“JAS Kedah telah mengarahkan pihak syarikat treler itu supaya melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan susu getah dan kerja pembersihan di kawasan terbabit.
“Syarikat kontraktor dari Pulau Pinang itu telah mula membuat pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air mulai pagi semalam selepas kerja pengalihan treler selesai dibuat pada Ahad lalu,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Sharifah Zakiah, tiga buah lori digunakan untuk mengangkut 36 tan sisa susu getah berkenaan yang dipam setakat semalam dan kerja-kerja pengepaman masih berlangsung hari ini yang dijangka mengambil masa dua ke tiga hari lagi untuk selesai sepenuhnya.
“Pemantauan berterusan masih dilakukan oleh JAS Kedah bagi memastikan kerja-kerja pembersihan dibuat sehingga sempurna dan buangan dihantar ke premis kitar semula getah yang berlesen dengan JAS di Pulau Pinang. Kami juga telah mengambil sampel sisa tumpahan dalam bentuk cecair di longkang berhampiran,” katanya.
Katanya, pihak PLUS turut membantu meminimumkan pengaliran sisa tumpahan susu getah itu daripada mengalir ke sungai berdekatan dengan menyekat aliran air menggunakan beg-beg guni pasir di sepanjang jajaran longkang.
“JAS Kedah menasihatkan syarikat-syarikat lori membuat pemeriksaan rapi terhadap kenderaan berat yang digunakan bagi mengangkut bahan-bahan mentah seperti bahan kimia, susu getah dan sebagainya untuk memastikan keadaan kenderaan serta tayar selamat digunakan. Mereka juga perlu mempunyai SOP dan senarai kontraktor pembersihan bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku tumpahan,” katanya. -UTUSAN











