PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM58.1 bilion pada tahun ini untuk membantu rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, jumlah itu membabitkan sektor kepenggunaan, sara hidup, pendidikan, biasiswa, pinjaman, faedah, sektor pertanian dan lain-lain.
Justeru itu beliau menjelaskan, langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi untuk membantu rakyat dengan meningkatkan bantuan untuk golongan memerlukan.
“Untuk STR (Sumbangan Tunai Rahmah) saya dah sebut, kalau 2022 ketimbang (berbanding) 2024 iaitu peningkatan berbilion, sekarang sudah sampai RM10 bilion, daripada jumlah RM2,000 kepada RM3,700.
“Ini harus difahami kerana kadang kala orang menganggap penyasaran subsidi tidak beri faedah kepada rakyat. Umpamanya Skim Subsidi Harga Padi, kita naikkan. Harga lantai belian padi, kita naikkan naik mendedahkan daripada 21, 22 hingga 24.
“Bantuan ini kerana memikirkan ada kesan dalam kalangan rakyat, iaitu sebabnya mengapa kadar SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dinaikkan kepada RM1,200. Bantuan Awal Persekolahan untuk semua murid daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah iaitu diberi peruntukkan RM800 juta yang mendapat faedah lima juta.
“Kalau ambil pengiraan ini, kita dapat tahu bahawa maknanya kerajaan terima memang ada masalah. Kalau tiada masalah, mengapa kita tambah subsidi kepada rakyat. Ini cara kita kurangkan beban rakyat,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta penjelasan kerajaan iaitu apakah agenda untuk membantu golongan rentan di negara ini ekoran pelaksanaan reformasi subsidi.











